Ramuan
kesihatan tradisional masih lagi digunakan dalam era perubatan moden. Antara
yang menjadi tumpuan ialah cuka epal yang digunakan hippocrates sebagai tonik
rawatan pada 400 tahun Sebelum Masihi.
Kini, para
saintis mula meneliti minuman kesihatan ini dari perspektif baru dan memberikan
pendedahan mengenai faedahnya. Malah, kumpulan penyelidik dari Jepun mendapati
asid asetik dalam cuka epal mengaktifkan gen yang menjadi kunci penghasilan
enzim pengoksidaan asid lemak.
Enzim ini
bertindak sebagai pemangkin yang meningkatkan metabolisme dan ia menghalang
tubuh menyimpan lemak dan memecah serta melarutkan lemak tubuh sedia ada.
Penemuan ini
berdasarkan satu kajian di Universiti Sydney, Australia iaitu kumpulan yang
mengambil dua sudu cuka epal setiap hari mengalami pengurangan kenaikan dan
penurunan mendadak tahap gula dalam darah.
Ia berlaku
disebabkan kandungan kalium yang tinggi di dalam cuka epal. Mineral beralkali
ini dibuktikan mampu meningkatkan sensitiviti sel terhadap insulin yang
bertindak mengawal selia glukosa dalam badan.
Bagi
mengawal berat badan dan mengurangkan obesiti, mengambil cuka epal tiga kali
sehari berupaya menyingkirkan lemak. Caranya cukup mudah iaitu campurkan dua
sudu cuka epal bersama satu hingga dua sudu madu dengan segelas air.
Cuka epal
mampu meningkatkan tahap keremajaan kulit dalam masa beberapa minit saja.
Caranya, cuci muka dengan air suam kemudian lekapkan tuala yang dibasahkan
dengan air panas selama tiga minit.
Seterusnya,
basahkan tuala lain dengan campuran cuka epal (satu sudu cuka epal dicampur
dengan satu gelas air) dan lekapkan tuala ini pada muka. Tutup tuala ini dengan
tuala yang dibasahkan dengan air panas dan biarkan ia selama 10 minit pada
muka. Buka kedua-dua kain dan gunakan tuala kasar untuk menggosok kulit dengan
lembut mengikut gerakan ke atas. Ia membantu menanggalkan sel mati dan
membuatkan kulit kelihatan lebih muda dan berseri.
Faedah
penggunaan cuka epal turut dirasai melalui penggunaan secara luaran, terutama
jika digunakan pada rambut. Ia membantu menjadikan rambut lebih bersinar dan
merawat masalah kelemumur.
Rambut
mempunyai kadar pH yang bersifat asid dan mempunyai tahap pH ideal pada skala
4.5 hingga 5.5. Bilasan yang dicampurkan dengan cuka epal akan membantu
menyeimbangkan tahap pH rambut dan menyingkirkan sisa yang terbentuk hasil
penggunaan produk penggayaan dan syampu murah.
Bilasan juga
akan menutup sisik kutikel dan melindungi setiap helai rambut yang memantulkan
cahaya menjadikan rambut lebih berseri, lembut dan senang untuk diurus.
Caranya,
sediakan air bilasan rambut dengan memasukkan 75 mililiter cuka epal ke dalam
satu liter air. Gunakan air bilasan ini setiap kali selesai mencuci rambut
iaitu sebelum melakukan bilasan terakhir. Biarkan ia seketika untuk lebih
perapian sebelum rambut dibilas bersih.